Friday, October 1, 2010

CERITA TENTANG SEMUT DAN MANUSIA



“Eeee, banyaknya semut!!!” jerit Kauthar apabila melihat air teh yang tidak sempat diminumnya pagi tadi telah bertukar menjadi markas “ Kelab Renang Antarabangsa ” semut-semut di rumahnya.

Rumaisa’ hanya tergelak melihat gelagat sahabatnya yang membebel tidak berhenti kerna marahkan semut. “Kauthar, nak dengar cerita tentang semut dalam al-quran tak?”

“ Dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka berbaris dengan tertib. Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, “ Wahai semut-semut! masuklah ke dalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari ”. (An-naml ,27 : 17-18)

Kisah-kisah dari Al-quran, semuanya boleh diambil pengajaran bukan? Jom sahabat! kita selusuri dunia sang semut yang bijak dan berkaliber yang tercatat dalam Al-quran.

Semut itu, dia melihat kedatangan tentera-tentera nabi Sulaiman a.s. Bencana besar mungkin berlaku jika semut-semut di situ tidak mencari tempat perlindungan sedangkan tentera nabi Sulaiman bergerak kencang meluru ke arah mereka. Dia tahu, kehadiran semut-semut di situ mungin tidak disedari tentera nabi Sulaiman a.s. Lantas semut bijak menyeru rakan-rakannya agar masuk ke sarang masing-masing. Takut-takut diinjak tentera nabi sulaiman a.s.

Ringkaskan cerita semut ini. Tapi sangat banyak pengajaran yang boleh diambil. Apa yang kita boleh belajar dari semut? Oh, yang pertama, semut ini sangat sensitif dengan hal-hal yang berlaku di persekitarannya. Dia tidak hanya memikirkan kehidupan dirinya sahaja malah dia juga peka dengan perkara yang bakal mendatang. Kita?adakah kita sensitif dan peka tentang persekitaran kita?rakan-rakan kita di mesir? Pergolakan-pergolakan di Malaysia ? Perkembangan dunia Islam ? Ataukah kita lebih selesa berprinsipkan tidak mahu kacau tepi kain orang?

Semut itu, dia tidak pentingkan diri-sendiri . Bilamana dia mencium bau bahaya, dia tidak hanya diam-diam,cuba menyelamatkan diri sendiri sahaja. Malah dia seru rakan-rakannya yang lain agar turut sama menyelamatkan diri. Dia tidak hanya selesa dengan kebaikan, kepandaian, kelebihan dirinya, malah dia tahu dan dia faham peranannya untuk turut sama mengajak yang lain. Dia tahu dia perlu turut sama berkongsi dengan yang lain. Bilamana dia melihat rakannya terleka dengan kehidupan masing-masing, dia tegur supaya rakannya kembali tersedar.

Baik kan semut? Bila menegur, dia menggunakan bahasa yang lembut. Kata-katanya berbentuk seruan, bukan paksaan, ajakan bukan desakan, jauh sekali cacian dan kejian . Menyeru kerana sayang. Mengajak kerana inginkan kebaikan . Dan semut itu juga seperti kita, seakan-akan dia tahu, ajakan perlu lahir dari kasih-sayang dan dengan cara kasih-sayang. Jika diri tidak suka dipaksa dan dikeji, maka diri tidak akan memaksa dan mengeji, Itu lumrah bukan?

“ Maka berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampunan untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal ”.

(Surah Al-Imran, 3 : 159 )

Bukankah firman Allah ini menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri diperintahkan berkata lembut dengan para sahabat ? Jika tidak, para sahabat akan menjauhkan diri . Kita berkata tentang para sahabat. Yang hidup matinya hanya untuk ISLAM. Yang kasihnya hanya tumpah pada Allah dan Rasul-NYA. Jika dengan sahabat sendiri pun Rasulullah s.a.w diarahkan berkata lembut, apatah lagi kita sesama manusia biasa? Yang imannya lebih banyak turun dari naik. Bukankah kata-kata yang lembut dan membina itu lebih baik dari kata-kata keras yang boleh memarakkan api kemarahan? Maka duhai yang ingin menegur kerna sayang, zahirkanlah kasih-sayangmu dalam teguranmu. Agar mereka tahu kamu menegur kerna prihatin. Agar si dia sedar kamu menasihati supaya kita semua bisa sama-sama berkumpul di syurga abadi.

Apa lagi ya yang kita boleh ambil pengajaran dari Kalam Allah tentang semut bijak ini? Hurm, perasan tak kawan-kawan? Semut ini sangat bersangka baik dengan nabi Sulaiman a.s. Dia menanamkan dalam dirinya dan kawan-kawannya bahawa mungkin nabi tidak sengaja kerana tidak tahu kehadiran mereka di situ. Tidak ada was-was sedikitpun. Tidak ada sangka buruk sedikit pun yang ditanam dalam diri semut ini. Baguskan semut?! Sedangkan kita sendiri sangat-sangat sukar untuk bersangka baik dengan manusia lain. Bersangka baik dengan sahabat sendiri pun sukar, apatah lagi untuk bersangka baik dengan orang yang tidak kita kenali.

Pengajaran dari semut ringkas, tapi padat. Teorinya boleh digunakan dalam banyak situasi hidup kita. Dalam pelajaran, jika bukan kita yang ingin berkongsi dan sama-sama “give and take”, maka siapa lagi? Dalam bersahabat, jika bukan kita yang saling menasihati, maka apa guna digelar kawan? Dalam bermasyarakat, jika hanya fikirkan tentang keselesaan diri dan keluarga semata-mata, maka apa akan jadi pada masyarakat generasi akan datang? Nah, ini hanya beberapa contoh sahaja. Rasanya sahabat-sahabat semua lebih arif mengaplikasikannya dalam kehidupan sendiri. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat dari kisah semut yang bijaksana dan proaktif ini.

“ Demi Masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran ”. ( Al-Asr , 103 : 1-3 )

1 comment: